Pengenalan
A. Pertubuhan Nadi Haiwan ("PNH") ialah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang membiayai rawatan haiwan terbiar, supaya sesiapa yang menemui haiwan sakit atau cedera boleh membawanya ke klinik tanpa menanggung kos.
B. Terma ini terpakai kepada klinik veterinar berlesen yang mendaftar sebagai klinik panel PNH ("Klinik"). Klinik menerima dan merawat haiwan di bawah program PNH, dan menuntut bayaran daripada PNH mengikut terma ini.
C. Dengan menandakan "Saya bersetuju" dan menghantar borang pendaftaran, wakil Klinik mengesahkan bahawa beliau diberi kuasa oleh Klinik, telah membaca terma ini, dan bersetuju bagi pihak Klinik. Dalam dokumen ini, "perjanjian ini" bermaksud Terma dan Syarat ini.
D. Klinik menjadi klinik panel hanya selepas PNH selesai menyemak maklumat dan dokumen Klinik (Fasal 6.5) dan meluluskan pendaftaran. PNH akan memaklumkan kelulusan, kod vendor dan Had Bajet Bulanan melalui e-mel.
1. Tafsiran
1.1 Haiwan bermaksud kucing, anjing atau haiwan lain yang terbiar, sakit atau cedera, yang dibawa ke Klinik di bawah program PNH.
1.2 Penyelamat bermaksud orang yang membawa Haiwan ke Klinik.
1.3 Kes bermaksud rekod rawatan bagi seekor Haiwan. Nombor Kes bermaksud ID unik bagi setiap Haiwan yang dijana secara automatik oleh sistem PNH (contoh: NH-0001).
1.4 Portal Klinik bermaksud sistem dalam talian PNH yang digunakan oleh Klinik untuk mendaftar Kes, mengemas kini rawatan dan memuat naik invois.
1.5 Had Kos Sekes bermaksud jumlah maksimum kos rawatan bagi satu Kes yang boleh dituntut tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada PNH, seperti dalam Fasal 3.4.
1.6 Had Bajet Bulanan bermaksud jumlah maksimum invois yang boleh dikemukakan oleh Klinik kepada PNH dalam satu bulan kalendar, seperti dalam Jadual B.
1.7 No. PR bermaksud nombor Payment Request yang dijana oleh sistem PNH bagi setiap bayaran kepada Klinik.
1.8 Hari bekerja bermaksud hari selain Sabtu, Ahad dan cuti umum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
2. Skop perkhidmatan
2.1 Klinik bersetuju menerima dan merawat Haiwan yang dibawa oleh mana-mana Penyelamat sebagai Kes PNH, tertakluk kepada Had Kos Sekes dan Had Bajet Bulanan.
2.2 Klinik tidak akan mengenakan sebarang bayaran, deposit atau cagaran kepada Penyelamat bagi rawatan yang ditanggung di bawah perjanjian ini. Semua bil dituntut daripada PNH sahaja.
2.3 Rawatan yang ditanggung oleh PNH ialah:
- rawatan kecemasan dan penstabilan;
- konsultasi, diagnosis dan ujian yang perlu;
- ubat-ubatan dan rawatan wad;
- pembedahan yang perlu untuk menyelamatkan nyawa atau memulihkan Haiwan;
- pensterilan, vaksinasi asas, dan rawatan cacing dan kutu;
- eutanasia berperikemanusiaan, mengikut Fasal 6.3.
2.4 Perkara yang tidak ditanggung, kecuali dengan kelulusan bertulis PNH terlebih dahulu:
- rawatan kosmetik atau dandanan yang bukan untuk tujuan perubatan;
- haiwan yang mempunyai pemilik.
2.5 Penjagaan selepas rawatan. Selepas Haiwan pulih, Klinik terus menjaga Haiwan di Klinik sehingga PNH mengatur langkah seterusnya, iaitu menghantar Haiwan kepada keluarga angkat (foster), pusat perlindungan, pengangkat, atau melepaskannya semula sebagai pilihan terakhir. Kos penjagaan dalam tempoh ini dituntut pada caj penjagaan harian dalam senarai harga Klinik (Jadual A). Klinik memaklumkan PNH melalui Portal Klinik sebaik sahaja Haiwan sedia untuk keluar.
2.6 Perjanjian ini tidak eksklusif. Klinik bebas menjalankan perniagaannya seperti biasa, dan PNH bebas melantik klinik panel lain di kawasan yang sama.
3. Prosedur kes
3.1 Pendaftaran kes. Sebelum rawatan bukan kecemasan dimulakan, Klinik mendaftar Kes melalui Portal Klinik dengan maklumat berikut:
- gambar keadaan Haiwan semasa tiba;
- jenis haiwan dan anggaran umur;
- lokasi Haiwan ditemui;
- nama dan nombor telefon Penyelamat;
- diagnosis awal dan rancangan rawatan.
3.1A Nombor Kes. Sebaik sahaja Klinik menghantar maklumat Haiwan, sistem PNH menjana Nombor Kes yang unik secara automatik dan memaparkannya kepada Klinik. Setiap Haiwan mempunyai satu Nombor Kes sahaja. Nombor Kes mesti dinyatakan pada semua dokumen berkaitan Haiwan tersebut, termasuk invois, borang persetujuan, rekod rawatan, keputusan ujian dan dokumen serahan Haiwan.
3.2 Kemas kini rawatan. Klinik mengemas kini status Kes di Portal Klinik apabila status berubah, contohnya "Dalam rawatan", "Pulih" atau "Dihantar ke foster".
3.3 Pengesahan oleh PNH. PNH boleh menghubungi Klinik pada bila-bila masa untuk mengesahkan kewujudan Haiwan, keadaannya dan kos rawatannya.
3.4 Had Kos Sekes. Jumlah kos bagi satu Kes tidak boleh melebihi RM______ tanpa kelulusan PNH. Jika rawatan dijangka melebihi had ini, Klinik mengemukakan permohonan kelulusan melalui Portal Klinik, bersama anggaran kos dan sebab rawatan diperlukan. PNH akan memberi keputusan dalam tempoh 1 hari bekerja.
3.5 Kecemasan. Klinik boleh memberi rawatan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa atau melegakan kesakitan yang teruk tanpa menunggu kelulusan, walaupun kosnya melebihi Had Kos Sekes. Klinik mesti memaklumkan PNH dan mendaftar Kes dalam tempoh 24 jam.
3.6 Had Bajet Bulanan. Jumlah invois Klinik dalam satu bulan kalendar tidak boleh melebihi Had Bajet Bulanan dalam Jadual B. Jika had hampir dicapai, Klinik memaklumkan PNH sebelum menerima Kes baharu. PNH boleh mengubah had ini dengan notis bertulis kepada Klinik.
4. Harga, invois dan bayaran
4.1 Harga ditetapkan oleh Klinik. PNH tidak menetapkan harga rawatan Klinik. Semasa mendaftar, Klinik mengemukakan senarai rawatan yang ditawarkan dan caj bagi setiap rawatan (Jadual A).
4.1A Kemas kini senarai. Klinik boleh menambah rawatan baharu atau mengemas kini caj melalui Portal Klinik pada bila-bila masa. Caj yang terpakai bagi sesuatu rawatan ialah caj dalam senarai Klinik pada tarikh rawatan itu diberikan. Portal Klinik merekod sejarah setiap perubahan senarai harga.
4.2 Invois. Klinik memuat naik invois melalui Portal Klinik. Setiap invois mesti mengandungi:
- nombor invois dan tarikh;
- nombor Kes;
- butiran setiap rawatan dan harganya, mengikut Jadual A;
- jumlah keseluruhan.
4.2A Satu invois bagi seekor Haiwan. Setiap invois hanya untuk satu Nombor Kes. Seekor Haiwan boleh mempunyai beberapa invois, contohnya bagi rawatan pada tarikh yang berlainan, tetapi satu invois tidak boleh merangkumi lebih daripada seekor Haiwan. Invois yang merangkumi beberapa Haiwan akan dikembalikan kepada Klinik untuk diasingkan mengikut Nombor Kes.
4.3 Semakan. PNH menyemak invois dalam tempoh 7 hari bekerja selepas diterima. Jika ada item yang dipertikaikan, PNH memaklumkan Klinik melalui Portal Klinik, dan hanya item yang dipertikaikan ditahan. Item lain diproses seperti biasa.
4.4 Bayaran. PNH membayar invois yang telah diluluskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh invois diterima, melalui pindahan bank ke akaun Klinik dalam Jadual B. Setiap invois dibayar secara berasingan, iaitu satu pindahan bank bagi setiap invois. Bayaran bagi beberapa invois tidak digabungkan.
4.5 Rujukan bayaran. Setiap invois diberi satu No. PR, dan No. PR tersebut digunakan sebagai rujukan pindahan bank. Klinik boleh menyemak No. PR dan tarikh bayaran bagi setiap invois di Portal Klinik.
4.6 Bayaran hanya kepada Klinik. PNH tidak membuat bayaran kepada Penyelamat atau mana-mana individu bagi rawatan di bawah perjanjian ini.
4.7 Perubahan akaun bank. Sebarang perubahan akaun bank Klinik mesti dimaklumkan secara bertulis oleh pemilik atau pengurus Klinik yang diberi kuasa, dan disahkan oleh PNH melalui panggilan telefon sebelum digunakan.
5. Ketelusan, data peribadi dan jenama
5.1 Paparan awam. Klinik bersetuju bahawa PNH boleh memaparkan maklumat berikut di laman web PNH, sebagai sebahagian daripada dasar ketelusan PNH:
- nama Klinik dan kawasannya;
- nombor Kes, jenis haiwan, gambar Haiwan, ringkasan rawatan dan status Kes;
- jumlah setiap invois dan tarikh ia dibayar.
5.2 Data peribadi. Kedua-dua pihak mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Nama dan nombor telefon Penyelamat hanya digunakan untuk urusan Kes, dan tidak dipaparkan kepada orang ramai.
5.3 Kerahsiaan. Kedua-dua pihak merahsiakan maklumat perniagaan pihak yang satu lagi yang tidak terbuka kepada umum, kecuali maklumat yang dipaparkan di bawah Fasal 5.1 atau yang dikehendaki oleh undang-undang.
5.4 Jenama. PNH membekalkan pelekat atau poster "Klinik Panel Nadi Haiwan" untuk dipamerkan di Klinik. Setiap pihak boleh menggunakan nama dan logo pihak yang satu lagi hanya untuk menyatakan status klinik panel ini, dan mesti berhenti menggunakannya apabila perjanjian ini tamat.
5.5 Audit. Klinik bersetuju menyimpan rekod rawatan bagi setiap Kes sekurang-kurangnya 7 tahun, dan memberi salinan rekod tersebut kepada PNH atau juruaudit PNH apabila diminta dengan notis yang munasabah.
6. Tanggungjawab profesional
6.1 Semua rawatan diberikan oleh doktor veterinar yang berdaftar dengan Majlis Veterinar Malaysia, memegang Sijil Amalan Tahunan (APC) yang sah bagi tahun semasa, dan disenaraikan oleh Klinik dalam Jadual B. Keputusan klinikal ialah tanggungjawab doktor veterinar Klinik, mengikut standard profesion.
6.2 PNH tidak bertanggungjawab ke atas hasil rawatan, dan Klinik tidak bertanggungjawab ke atas keputusan pentadbiran atau kewangan PNH.
6.3 Eutanasia. Bagi Haiwan yang menderita tanpa harapan untuk pulih, doktor veterinar Klinik boleh menjalankan eutanasia berperikemanusiaan. Kecuali dalam kecemasan, Klinik berbincang dengan PNH terlebih dahulu. Dalam semua keadaan, Klinik merekod sebab eutanasia di Portal Klinik.
6.4 Klinik adalah kontraktor bebas. Tiada apa-apa dalam perjanjian ini yang menjadikan Klinik ejen, pekerja atau rakan kongsi PNH.
6.5 Semakan latar belakang. Sebelum meluluskan pendaftaran, PNH menyemak maklumat dan dokumen dalam Jadual B, termasuk status pendaftaran Klinik dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pendaftaran setiap doktor veterinar dengan Majlis Veterinar Malaysia dan Sijil Amalan Tahunan mereka, lesen premis daripada pihak berkuasa tempatan, dan akaun bank Klinik. PNH boleh menghubungi Klinik atau melawat premis Klinik sebagai sebahagian daripada semakan ini. Klinik bersetuju PNH membuat semakan ini dan menyimpan dokumen yang dimuat naik bagi tujuan tersebut.
6.6 Senarai doktor veterinar. Klinik menyenaraikan semua doktor veterinar yang akan merawat Kes PNH. Hanya doktor yang disenaraikan dan telah disahkan oleh PNH boleh merawat Kes PNH. Klinik menambah doktor baharu, atau mengeluarkan doktor yang telah berhenti, melalui Portal Klinik dalam tempoh 7 hari dari perubahan itu.
6.7 Pembaharuan dokumen. Klinik memuat naik Sijil Amalan Tahunan baharu bagi setiap doktor, dan lesen premis yang telah diperbaharui, sebelum tarikh tamat dokumen tersebut. Portal Klinik menghantar peringatan 30 hari sebelum tarikh tamat. Jika sesuatu dokumen telah tamat tempoh, PNH boleh menggantung penerimaan Kes baharu di Klinik sehingga dokumen terkini dimuat naik dan disahkan.
6.8 Maklumat palsu. Jika maklumat atau dokumen yang dikemukakan oleh Klinik didapati palsu atau mengelirukan, PNH boleh menolak pendaftaran atau menamatkan perjanjian ini serta-merta melalui notis bertulis.
7. Tempoh dan penamatan
7.1 Perjanjian ini berkuat kuasa pada tarikh PNH meluluskan pendaftaran Klinik, untuk tempoh 12 bulan, dan diperbaharui secara automatik bagi setiap 12 bulan berikutnya.
7.2 Mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian ini dengan memberi notis bertulis 30 hari.
7.3 Mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian ini serta-merta melalui notis bertulis jika pihak yang satu lagi:
- mengemukakan invois palsu atau mengenakan bayaran kepada Penyelamat yang bertentangan dengan Fasal 2.2;
- melakukan pelanggaran besar dan tidak membetulkannya dalam tempoh 14 hari selepas dimaklumkan;
- kehilangan lesen atau pendaftaran yang diperlukan untuk beroperasi.
7.4 Selepas perjanjian tamat, PNH tetap membayar invois yang sah bagi rawatan yang diberikan sebelum tarikh tamat. Kes yang sedang dirawat diselesaikan mengikut persetujuan kedua-dua pihak.
8. Notis
8.1 Notis di bawah perjanjian ini dihantar melalui e-mel ke alamat dalam Jadual B (bagi Klinik) dan [email protected] (bagi PNH), atau melalui pos berdaftar ke alamat setiap pihak.
9. Peruntukan am
9.1 Perjanjian ini tertakluk kepada undang-undang Malaysia.
9.2 Sebarang pertikaian diselesaikan melalui perbincangan terlebih dahulu. Jika tidak selesai dalam tempoh 30 hari, pertikaian boleh dirujuk kepada mahkamah di Kuala Lumpur.
9.3 Pindaan kepada perjanjian ini dibuat mengikut Fasal 10.3.
9.4 Jadual A (senarai harga) dan Jadual B (maklumat pendaftaran), yang diisi oleh Klinik semasa mendaftar, adalah sebahagian daripada perjanjian ini.
10. Penerimaan terma dan pindaan
10.1 Terma ini diterima secara elektronik. Sistem PNH merekod bagi setiap pendaftaran:
- nama dan jawatan wakil Klinik yang menandakan "Saya bersetuju";
- tarikh dan masa penerimaan;
- versi terma yang diterima.
10.2 Rekod di Fasal 10.1 menjadi bukti persetujuan Klinik. Klinik boleh memuat turun salinan terma yang diterimanya dari Portal Klinik.
10.3 PNH boleh meminda terma ini dengan memberi notis 30 hari melalui e-mel dan Portal Klinik. Jika Klinik tidak bersetuju dengan pindaan, Klinik boleh menamatkan penyertaan di bawah Fasal 7.2 sebelum pindaan berkuat kuasa. Klinik yang terus menerima Kes PNH selepas tarikh kuat kuasa dianggap bersetuju dengan pindaan tersebut.
Jadual A dan Jadual B
Jadual A (senarai harga) dan Jadual B (maklumat klinik, doktor veterinar, dokumen dan akaun bank) ialah maklumat yang Klinik isi dalam borang pendaftaran ini.
Versi 1.0
